Tuesday, October 27, 2009

Aku kembali bersama tajuk 'Hikmat Ibadah'

Assalammualaikum... alhamdulillah akhirnya aku kembali ke ruang ini setelah lebih sebulan aku meninggalkannya... kembalinya aku diruang ini hanya ingin berkongsi tentang 'Hikmat Ibadah'... ramai yang beribadah tapi mungkin ada yang segelintir yang tidak tau hikmat disebaliknya... jadi ingin ku kongsi apa yang telah ku perolehi... harap dengan perkongsian ini dapat dibaca bersama...

Ibadah mempunyai rahsia dan hikmatnya. Sebahagian hikmat itu dapat difahami oleh manusia dan sebahagian yang lain tidak diketahui oleh sesiapa pub kecuali Allah. Yang pasti, ia tidak membebankan manusia sebaliknya ia menguntungkan manusia di segenap penjuru kehidupan.

Dalam surah al-Maidah ayat 6 Allah menyatakan "Allah tidak berkendak untuk menyulitkan kamu, sebaliknya dia berkehendak untuk membersihkan kamu serta menyerpurnakan nikmatnya ke atasmu semoga kamu bersyukur". Kenyataan ini disokong oleh kata-kata nabi yang bermaksud, "Sesungguhnya kamu diutus untuk memudahkan (agama) dan kamu tidak diutus untuk menyusahkan." Hadis ini dilapor oleh Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad.

Antara manfaat yang dapat kita peroleh daripada ibadah adalah ia menjadikan kita peka dengan masa. Sebagai contohnya, solat fardu yang diwajidkan ke atas setiap individu dikenali sebagai solat waktu kerana ia terikat dengan waktu-waktu tertentu. Justeru, solat fardu mendidik umat Islam supaya peka dengan waktu sekali gus mendidik umat menjadi pengurus masa yang baik.

Disamping mengajar kita peka dengan waktu, ibadah juga mendidik umat supaya menjadi peka dengan ilmu . Contoh, semasa melaksanakan solat jemaah, mereka yang berilmu diutamakan menjadi imam. Berhubung dengan ini nabi berkata, "Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu mengenai Quran. Sekiranya kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah daripada kalangan yang lebih memahami sunah." Hadis ini direkod oleh Muslim dan Ahmad.

Tambahan daripada itu, ibadah membersihkan jiwa, sebagai contoh, mengikis sifat-sifat tamak daripada hati manusia. Hal ini dapat dikaitkan dengan ibadah zakat. Ibadah juga sudah pastinya, meningkatkan kesihatan seseorang. Sebagai contoh, Dr. Ahmed El-Kadi dari Klinik Akbar di Panama City, Florida, pernah membuat satu kajian berhubung kesan mendengar Quran ke atas fisiologi manusia. Antara aspek fisiologi yang diambil kira dalam kajian ini adalah kadar denyutan jantung, tekanan darah serta tekanan ke atas saraf dan otot. Beliau mendapati, mereka yang mendengar Quran, termasuk daripada kalangan yang bukan Islam dan bukan Arab, mengalami perubahan fisiologi yang positif di dalam diri mereka.

Seperkara yang perlu ditekankan adalah kita melaksanakan ibadah kepada Allah disebabkan ia merupakan kewajipan yang Allah fardukan ke atas kita, berdasarkan dalil daripada Quran dan sunah. Kita tidak melakukannya kerana penemuan dan pandangan sains. Walau bagaimanapun kita menyakini setiap apa yang Allah wajibkan pasti ada kebaikan dan manfaatnya berdasarkan penjelasan Allah dalam sura Al A'raf ayat 157 yang bermaksud, "Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk."

Tambahan daripada itu, Islam dan ajaran-ajarannya diturunkan Allah bagi menjaga kebaikan manusia. Allah tidak turunkan ia bagi mendatangkan masalah kepada manusia. Berhubung dengan ini Imam al-Izz Abdul Salam berkata, "Sesungguhnya syariat Islam keseluruhannya adalah untuk kemaslahatan, sama ada dalam bentuk mencegah kerosakan ataupun mendatangkan kebaikan."

Justeru, penemuan sains yang dipaparkan berhubung dengan sesuatu ibadah hanya bertujuan bagi membantu kita memahami sebahagian kecil daripada hikmat yang terkandung di sebalik ibadah-ibadah itu. Semoga dengan pengetahuan itu ia menguatkan lagi komitmen kita pada Islam dan ajarannya. Wassalam...

2 comments:

  1. fuh,,... dh padai berbloging dh bdk sorang ni..
    bgs3,... hehhe.. truskan usaha...

    ReplyDelete
  2. Salam...

    Cuba mus cari sebuah buku karangan Syeikh Majid al Zindani...bertajuk " Kitab Tauhid"..persoalan akidah dgn didatangkan juga hujah dpd sudut sains...

    ReplyDelete